Rabu, 19 Januari 2011

Definisi Seni
Menurut Herbert Read, seni adalah usaha untuk menciptakan bentuk-bentuk yang menyenangkan. Leo Tolstoy dalam bukunya ‘What is Art?’ (1896) pula menyatakan seni adalah hasil pengalaman dan perasaan yang tercerna melalui garis, warna, gerak, bunyi, kata-kata, bahasa dan rupa bentuk yang dikongsi bersama orang lain.

Raymond William menyatakan bahawa seni itu mencakupi berbagai bidang seperti senihalus (catan, arca, lukisan, cetakan, instalasi, video), seni ukir, seni tembikar (seramik), seni logam, tekstil, pementasan, sastera dan seni muzik. Bagi beliau seni adalah sebagai satu kemahiran yang bersifat imaginatif dan kreatif. Sementara R.G. Collingwood mendefinisikan seni sebagai satu ekspresi dari satu aktiviti yang melibatkan pengeluaran rasa emosi pengkarya seni.

Dr. Sidi Gazalba menyatakan bahawa seni itu indah dan indah itu adalah baik. Menurut beliau sesebuah karya seni itu perlu ada unsur-unsur kebaikan, kebenaran dan nilai-nilai moral yang tinggi. Menurut beliau, matlamat akhir sesuatu seni ialah ketakwaan kepada Tuhan yang maha esa.
Seni adalah apa sahaja yang mempunyai nilai-nilai keindahan atau estetika. Manusia lazimnya suka kepada sesuatu keindahan walaupun nilai “keindahan” itu sendiri berbeza-beza menurut pandangan masing-masing. Menilai sesuatu kesenian memerlukan ilmu yang diperolehi melalui pengalaman dan pendidikan. Jika seseorang itu dididik dengan nilai keindahan yang baik, maka ia akan menilai seni yang baik dengan penilaian yang “baik”. Sebaliknya jika pengalaman seseorang menjurus kepada kesenian yang kurang kurang baik, maka penilaian seni yang baik baginya adalah sebenarnya seni yang kurang baik bagi orang lain. Penilaian baik / tidak baik, indah / buruk atau betul / salah jika tidak berlandaskan agama misalnya akan menyebabkan penilaian seni itu sendiri dinilai menurut pandangan dan penilaian golongan majoriti.

Perkataan yang biasanya digunakan untuk menggambarkan keindahan termasuklah – cantik, indah, lawa, tampan, manis, merdu, sedap, enak dan sebagainya. Semuanya bergantung perkara yang dirujuk. Contohnya enak, manis, lemak bagi makanan; cantik, tampan, lawa bagi manusia.

Seni Berasaskan Panceindera
Pancaindera memainkan peranan yang sangat penting dalam seni. Jadi kerana itu, saya mencadangkan bahawa seni hendaklah dikategorikan berdasarkan input pancaindera. Seni dibahagikan kepada enam iaitu – seni visual, seni rasa, seni sentuhan, seni nasal, seni bunyi dan seni bahasa.
Seni visual adalah semua seni yang dinikmati melalui deria penglihatan. Terbahagi kepada dua bahagian iaitu seni visual 2D dan 3D. Seni visual 2D wujud pada permukaan rata – misalnya lukisan, catan, kolaj, khat, kaligrafi dan sebagainia. Seni yang wujud secara 3 dimensi pula contohnya arca, seni bina (bangunan, kapal dsb).

Seni bunyi pula dapat dibahagikan kepada dua iaitu seni bunyi muzik dan seni bunyi bukan muzik. Seni muzik ialah bunyi-bunyi indah yang disusun secara logik berdasarkan elemen-elemen muzik misalnya irama, warna ton, mud, melodi, harmoni, tekstur dan format (bentuk / form). Bunyi yang indah tetapi tidak mengikut susunan logik termasuk dalam seni bunyi bukan muzik. Contohnya bunyi alam semula jadi – ombak, kicauan burung, unggas dan sebagainya.

Seni rasa melibatkan deria rasa melalui lidah. Rasa makanan iaitu kombinasi manis, masin, masam, pedas, payau dan pahit diadun menjadikan makanan sesuatu yang enak.
Seni sentuhan dapat dirasai melalui deria sentuhan. Kombinasi lembut / kasar, licin / kesat, tajam / tumpul dan lain-lain dapat dirasa melalui sentuhan. Jika kita memakai pakaian yang selesa, bermaksud rasa sentuhan yang “indah” dapat dirasakan. Begitu juga dengan tekstur makanan – makanan sengaja dibiarkan dalam keadaan agak kasar supaya teksturnya dapat dirasakan semasa di dalam mulut.

Seni nasal merujuk kepada bau yang dapat dicapai melalui pancaindera hidung. Bau yang indah termasuklah wangi dan harum atau apa sahaja istilah yang digunakan. Manusia tentu sekali menyukai sesuatu yang harum kerana telah semenjak lahir kanak-kanak telah diberitahu bahawa bau harum adalah sesuatu yang indah. Bagaimana pula dengan bau durian? Mengapakah masyarakat di Malaysia menganggap baunya harum sebaliknya bagi orang Eropah ia dianggap busuk?
Akhir sekali adalah seni dalam bahasa atau seni sastera. Seni sastera adalah hasil dari kombinasi perkataan-perkataan yang dipilih dan disusun sedemikian rupa supaya pembaca dapat merasai keindahannya. Dalam sastera juga terdapat elemen-elemen penting yang dapat meningkatkan nilai karya sastera / puisi.

Pelbagai Cabang Seni Yang Digabungkan
Jarang sekali seni wujud secara bersendiriam, walau pun ada. Ini disebabkan manusia manusia akan mengeksploitasi semua pancaindera manusia secara maksimum . Contohnya dalam sebuah persembahan nyanyian di atas pentas, seni muzik (bunyian) digabungkan dengan seni fesyen, backdrop (visual), nyanyian itu sendiri digabungkan dengan seni sastera (dalam lirik lagu). Pentas pula dihiasi dengan lampu berwarna warni (visual).

Contoh lain ialah dalam sebuah restoran – seni masakan (rasa – lidah) diabungkan dengan seni muzik (muzik dipasang dengan lembut (seni muzik), restoran pula dihiasi dengan perhiasan seperti catan dan ukiran tradisional (visual). makanan dihidangkan di atas meja dan pinggan mangkuk yang cantik. Bau dalam restoran pula adalah bau masakan yang menyelerakan. Dengan cara ini ia akan dapat menarik minat pelanggan disebabkan eksploitasi kegemaran manusia kepada keindahan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan